Saturday, January 1, 2011

Latar Belakang Penubuhan


Penubuhan Persatuan Bumiputra Suluk Kota Kinabalu,Sabah melalui proses yang sukar. Pada awal bulan Novemver 2008, terdapat beberapa orang sahaja untuk menunjukan minat untuk terlibat dalam menubuhkan Persatuan pada peringkat awal iaitu En. Rethaudin bin Jasmil, En. Jasmil bin Sirad dan En. Bariamin bin Nasiron.

Kami bertiga berbincang secara tidak formal untuk menubuhkan Persatuan dengan menggabungkan golongan muda dan tua untuk bersama-sama menubuhkan Persatuan. Kami membuat kajian rambang untuk mendapatkan pendapat dari mereka. Hasilnya, kami dapati ramai responden menggalakkan golongan muda yang ada pendidikan untuk penubuhan Persatuan.

Hasil kajian rambang tersebut, kami mula bergerak untuk mencari individu – individu yang berminat untuk menjadi Penaja Ahli Jawatankuasa. Perjumpaan dan perbincangan dengan rakan-rakan telah membuahkan kejayaan bahawa mereka bersetuju dan berminat terlibat dalam penubuhan Persatuan dimana semua Penaja Ahli Jawatankuasa Persatuan yang pertama.

Pada 25hb Februari,2009, kami semua telah sepakat untuk mengadakan satu mesyuarat. Agenda utama kami ialah mendapatkan persetujuan secara rasmi dari semua Penaja Ahli Jawatankuasa untuk menubuhkan Persatuan.

Keputusan dari mesyuarat tersebut, kami semua bersetuju bahawa Persatuan ini di daftarkan atas nama Ikatan Bumiputra Sulu Sabah (IBS). Setelah borang permohonan di isi dengan lengkap, pihak Pejabat Pendaftar Pertubuhan cawangan negeri Sabah menerima permohonan dan memberitahu kami bahawa permohonan kami akan disemak oleh mereka  terlebih dahulu.

Tiga minggu selepas permohonan di hantar, pihak kami menerima surat dari Pejabat Pendaftar Pertubuhan dari Ibu Pejabat bahawa permohonan kami sudah sampai dan diterima serta akan di semak dan dinilai.

Sebulan kemudian, pihak Pejabat Pendaftar Pertubuhan cawangan negeri Sabah menghubungi kami untuk datang ke pejabat mereka pada bila-bila masa untuk mengambil semula permohonan kami kerana banyak yang perlu di perbetulkan dan di perincikan terutama nama Persatuan.

Sebelum itu, kami diberi khidmat nasihat oleh Pejabat Pendaftar Pertubuhan. Nasihat, idea dan tunjuk ajar kepada Persatuan banyak membantu pihak Persatuan dalam menyediakan Perlembagaan dan nama Persatuan ini.
 
 Setelah mendapat nasihat dan idea dari Pejabat Pendaftar Pertubuhan, kami menarik permohonan Ikatan Bumiputra Sulu Sabah (IBSS).Kami beri nama baru kepada Persatuan iaitu PERSATUAN BUMIPUTRA SULUK KOTA KINABALU,SABAH.  Kami memohon semula kepada Pejabat Pendaftar Pertubuhan untuk mendaftarkan Persatuan kami secara sah.

Kami diberitahu oleh pihak Pejabat Pendaftar Pertubuhan cawangan negeri Sabah bahawa permohonan Persatuan ini akan disemak, diteliti dan di hantar ke Pejabat Pendaftar Pertubuhan pusat untuk penilaian sebelum diluluskan. Selepas menghantar permohonan kami, bermula episod menunggu jawapan.

Dalam tempoh menunggu jawapan, kami banyak membuat lawatan-lawatan ke kawasan-kawasan yang mana ramai kaum kami tinggal seperti di Kinarut, Telipok, Likas, Pulau Gaya, Tuaran, Menggatal, Karambunai, Luyang, dan Penampang. Kami juga membuat lawatan ke daerah lain seperti Sandakan, Lahad Datu, Telupid, dan Kudat.

Tujuan lawatan ini adalah untuk melihat dengan lebih dekat keadaan kaum Suluk terutama permasalahan yang mereka hadapi seperti ekonomi, sosial, pendidikan, kesihatan dan perumahan.

Rumusan dari lawatan ini, kami percaya dan yakin bahawa melalui penubuhan Persatuan Bumiputra Suluk Kota Kinabalu, Sabah, kami mampu membawa perubahan secara berperingkat kepada kaum Suluk. Kami sedar, usaha ini tidak akan berjaya jika kami tidak berkerjasama dengan pihak kerajaan terutama Jabatan-jabatan dan agensi Kerajaan.

Setelah menunggu selama setahun lebih, kami telah di hubungi oleh Pejabat Pendaftar Pertubuhan cawangan negeri Sabah untuk datang mengambil Surat Kelulusan dan Sijil Pendaftaran. Persatuan Bumiputra Suluk Kota Kinabalu, Sabah akhirnya di luluskan secara rasmi pada 5hb Oktober, 2009.

No comments:

Post a Comment